Showing posts with label faraid. Show all posts
Showing posts with label faraid. Show all posts

Wednesday, 29 August 2018

Orang Islam dan Masjid - Mundur atau maju?

Sedar atau tidak menjadi bangsa majoriti di Malaysia, iaitu sebagai bangsa Melayu yang mempunyai title haqiqi iaitu Melayu MESTI ISLAM menjadikan anda sentiasa dalam radar perhatian masyarakat sekeliling terutamanya golongan bukan Islam. Sesuatu yang lebih jelas mendapat tempat adalah daripada segi perbuatan atau bahasa halus juga boleh dikatakan dari aspek akhlak. Bermula daripada imej diri orang Melayu sehinggalah kepada bagaimana orang Melayu bercakap,bekerja dan memimpin organisasi dan negara turut memberi impak kepada imej Islam itu sendiri.

Satu perkara yang menarik untuk dijadikan sebagai anjakan paradigma baru adalah dengan melihat institusi pembinaan dan pengurusan masjid itu sendiri. Mengapa masjid? Masjid adalah lambang atau simbol fizikal utama kepada umat Islam. Namun begitu saya yakin apabila entri ini ditulis, sudah ada yang menguap, seolah-olah bosan. Masjid dilihat sebagai bosan, kosong, lesu dan tidak maju?

Setelah bertahun-tahun masjid berdiri teguh dan semakin banyak didirikan di kawasan majoriti masyarakat Muslim, hampir lebih daripada 40% masjid masih terbelakang dalam memenuhi ciri-ciri berikut yang tidak menampakkan masjid dan jemaah masjid membinanya seiring dengan zaman. Antaranya ialah:

1) Pembangunan fizikal

Kebanyakan masjid atau surau yang dibina sewajarnya:

a) Mesra OKU dan warga emas

- setidak-tidaknya membina laluan kerusi roda, penyediaan Quran Braille,simbol Braille pada tombol pintu.
- Apa yang pasti masjid bukan hanya sinonim dengan solat secara berjemaah tetapi sebagai tempat menuntut ilmu. Saya pernah menyaksikan tempat solat dibina di tempat yang mempunyai lebih daripada 10 anak tangga dan tentunya menyukarkan warga tua untuk pergi solat berjemaah.
- Jarang sekali dapat 'mengajak' golongan OKU mendekati masjid bersama-sama dengan golongan normal.

b) Mesra wanita

- waqie di Malaysia menggalakkan wanita untuk turut sama mengimarahkan masjid malahan di satu-satu tempat AJK Masjid majoritinya adalah wanita berbanding lelaki. Namun begitu tidak semua masjid mesra wanita. Beberapa sisi yang pihak arkitek terlepas pandang adalah membuat design yang mendedahkan aurat wanita itu sendiri terutamanya di tempat mengambil wudhu. Terdapat masjid dan surau menyediakan tempat wudhu wanita yang mendedahkan aurat mereka. Pernah solat di beberapa masjid yang dinding tempat wudhu dapat dilihat oleh lelaki yang lalu lalang di situ. Ada masjid yang mementingkan rekaan menarik seperti meletakkan batu-bata yang membentuk formasi geometri namun bentuk formasi tersebut menampakkan aurat wanita yang tidak bertudung ketika mengambil wudhu malah pernah menjadi ruang mengintip melalui lubang geometri oleh remaja lelaki yang nakal untuk melihat wanita yang sedang berwudhu. Ada juga dinding tempat wudhu bersaiz kecil dan rendah dan boleh dilihat oleh penduduk sekeliling yang berada di tempat yang tinggi hanya daripada tingkap rumah mereka!

- Selain itu ada masjid dan surau yang menyediakan tabir yang mudah dilihat oleh jemaah lelaki. Tabir tersebut bersifat transparent dan ini sedikit sebanyak menyebabkan wanita tidak selesa untuk memakai telekung dan sentiasa perlu bertudung. Malah ada wanita yang tidak kisah tentang hal ini sehinggakan tidak bertudung sebaik sahaja masuk ke ruang solat wanita biarpun tabir masjidnya adalah trasnparent!

c) Mesra kanak-kanak dan remaja

- beberapa masjid telah membuat inisiatif membina taman permainan mini, ruang kelas silat dan taekwondo di sudut masjid,padang bola dan court badminton/ sepak takraw supaya kanak-kanak dan remaja lebih 'mesra' datang ke masjid. Ini  merupakan salah satu pendekatan yang boleh dicontohi. Ianya brlaku di beberapa tempat di UK apabila masjid menyediakan tempat bermain kriket/bola dan apa yang menarik adalah imam masjid turut beriadah di situ bersama-sama dengan anak-anak  muda. Apabila tiba waktu solat imam tersebut berhenti bermain dan mengajak anak-anak muda solat bersama-sama!

2) Islam dan alam sekitar

- Saya mencadangkan agar pihak masjid dan surau menyediakan tong kitar semula di sekitar masjid dalam memberi kesedaran kepada sesiapa yang datang ke masjid untuk menyayangi alam sekitar. Bukankah ianya sangat bermakna?

- Masjid juga sewajarnya menjadi tempat paling banyak menanam pokok bunga dan buah-buahan sebagai tanda menyokong bumi hijau dan bersih dan bukan hanya membesarkan tempat parking kereta semata-mata


3) Penjimatan elektrik dan air dan keselamatan ahli jemaah

- Manfaatkanlah teknologi yang  seringkali digunakan untuk renovate rumah dengan membangunkan fasiliti ini di masjid. Alat-alat seperti pili air yang mengawal kuantiti air ketika berwudhu, tenaga solar untuk menjana elektrik di masjid, ruang dinding tempat imam solat dibina dengan baik untuk menggantikan mikrofon  (terutamanya apabila black out) melalui gelombang gema.

- Pertingkatkan keselamatan di masjid dengan menyediakan sistem pemasangan CCTV yang baik selain daripada merenovate masjid melalui permaidani lembut, sejadah dan telekung.

- Binaan masjid yang mempuyai pengudaraan yang baik dan tidak terlalu bergantung kepada aircond sebagai tanda menyokong kelestarian alam sekitar.

4) Program bersifat engagement dan reach out

- Pihak masjid juga sewajarnya bersikap proaktif dalam menggalakkan orang ke masjid bukan hanya laungan azan tetapi keluar dari masjid dan mendekati masyarakat kampung melalui aktiviti gotong royong kampung, pemberian zakat, menziarahi golongan OKU, mendekati golongan bukan Islam di kawasan kita, menggalakkan program silang agama seperti dialog harmoni tentang perbandingan agama dan menggalakkan golongan non-Muslim mengadakan ziarah ke masjid setidak-tidaknya dapat memecah tembok Islamophobia dan mengetahui bahawa masjid dan konsep masjid tidak sekali-kali sama seperti kuil dan gereja mereka.

5) Masjid sebagai tempat perkembangan ilmu

- Masjid bukan hanya bercakap tentang ilmu asas seperti kaifiat solat jenazah dan faraid tetapi perlu disedarkan dengan aspek lain seperti alam sekitar dalam pandangan Islam, Etika kerja dalam Islam, Kekeluargaan dalam Islam, fahaman jahiliyyah kontemporari yang bertentangan dengan Islam dan banyak lagi aspek lain jarang sekali disentuh di masjid-masjid di negara kita.


Masjid satu simbol kekuatan umat Islam, apakah ianya sebenar-benar dilihat sebagai kekuatan atau hanya sekadar rasa kuat dan gah?



Friday, 19 September 2014

Apa yang berlaku kepada manusia di dunia setelah kita mati? Born Muslim and Muallaf version

Assalamu’alaikum warohmatullahi wabaarokaatuh

Semoga kita berada dalam rahmat dan redha Allah

Entri kali ini cuma nak berkongsi tentang realiti yang berlaku pada semua manusia di dunia tak kira kita dari golongan mana,bangsa apa,kedudukan geografi kedudukan kita di dunia-iaitu episod kematian. Satu persoalan apakah yang akan berlaku di dunia apabila kita meninggal dunia kelak? Satu persediaan sebelum melangkah ke alam barzakh dan coretan kali ini adalah realiti yang berlaku apabila kita meninggal kelak…

Sebelum itu wan nak kongsi satu kata-kata daripada Abu Hashim Salamah bin Dinar:


“Barang-barang akhirat pada masa ini sedang murah. Suatu hari nanti barang-barang ini akan menjadi sangat mahal sehingga tidak mampu dibeli”

Apakah barang-barang itu? Apakah kaitannya dengan dunia dan akhirat? Abu Hashim sebenarnya berbicara dan mengingatkan kita tentang kematian. Amalan-amalan kebaikan yang dianjurkan dalam Islam sebenarnya sangat murah ketika kita masih hidup kerana kadang kala kita leka dan tidak betul-betul mengejar pahala di sebalik amalan tersebut ketika masih hidup, mungkin kerana persepsi kita menyatakan ianya 'murah' harganya jadi tidak perlu ter'gila-gila' mengejar ganjaran pahala tersebut  ketika masih hidup, namun kita akan mula menghargai barang-barang yang 'murah' ini apabila mati kelak, barulah terbuka mata kita bahawa barang ini rupanya 'mahal' dan amatlah bernilai harganya apabila kita mula memasuki alam barzakh, sehingga permintaan kita untuk melakukan amal soleh setelah mati tidak akan lagi dilayan kerana barang-barang tersebut sudah 'mahal' ...

Pernahkah kita terfikir tentang persiapan yang akan berlaku apabila kita meninggal dunia kelak?Persiapan yang utama adalah menguatkan iman dan memperbanyakkan amalan dan tidak perlu mempersiapkan keranda,kain kafan dan tempat kita bersemadi kerana semuanya telah tersedia.
Nak cari kain kafan?Sudah banyak kedai yang menyediakan kain putih,keranda pula sudah ada yang pasang siap di pasaran,tanah perkuburan pula sudah ada tukang penggali kubur di mana-mana, bahan untuk memandikan mayat,sudah pun terjual dalam bentuk kit,ala-ala first aid kit...namun untuk mempersiapkan iman dan menambahkan nilai dan jumlah amalan kita,tiada siapa yang dapat membantu kecuali diri kita sendiri...malahan buku catatan amal kita memang tertulis nama kita- maka hanya amalan-amalan kita sajalah yang dicatat malaikat,maka yang perlu kita risaukan adalah persiapan KITA SENDIRI...

Ada beberapa senario dalam masyarakat melayu-Islam tentang kematian:

+++Dalam Islam,tanpa kita sedar ada pihak yang menguruskan kematian dalam pelbagai bentuk malah ada yang dalam bentuk pakej,ala-ala pakej percutian... pakej RM1000 atau RM2000? jangan terkejut jika ada yang bertanya kepada anda apakah pakej yang anda pilih untuk menguruskan mayat arwah...kerana ianya memang wujud...

+++Bertemu dengan pelbagai adat kematian seperti meletakkan gunting atau kaca pada badan mayat kerana percaya untuk menghalau jin dan syaitan

+++Anak-anak kita, adik beradik kita bertelingkah berebutkan harta kita sehingga sanggup berdendam, memutuskan ikatan kekeluargaan

+++Ibu atau bapa yang meninggal dunia pada usia masih muda sedangkan anak-anak masih kecil, maka ada pihak menyuruh anak-anak lalu di bawah mayat bapa/ibu mereka setelah si mati (arwah bapa/ibu) setelah diletakkan di dalam keranda kerana percaya perbuatan tersebut boleh melupakan ingatan anak-anak terhadap arwah (meracau, mengingau, menangis kerana teringatkan arwah)

+++Tidak memasak di dalam rumah sebaliknya memasak dan makan di luar rumah kerana percaya tidak elok/menghormati jenazah ketika jenazah berada di dalam rumah

+++Kenduri arwah - percaya bahawa roh arwah akan pulang ke rumah untuk makan

+++Membawa payung untuk menaungi keranda jenazah ketika jenazah dibawa ke tanah perkuburan

+++Tidak mempercepatkan pengkebumian jenazah (lebih dari 24jam) tanpa sebab yang diharuskan oleh ajaran Islam

+++Berlaku perebutan jenazah,isu individu yang memeluk Islam tanpa memaklumkan kepada ahli keluarga atau waris

+++Tidak lagi menggunakan bilik arwah seperti katil,pakaian kerana percaya akan wujud gangguan hantu arwah


*Ini adalah sebahagian daripada perkara yang bertentangan dengan Islam dan khurafat yang bakal berlaku ke atas jenazah kita kelak,Maka berpesanlah kepada mereka iaitu keluarga dan sanak saudara kita agar perkara ini tidak berlaku ke atas jenazah kita kelak

*Persiapkan wasiat kita awal-awal sebelum kita meninggal dunia dengan menyediakan dokumen hitam putih (hardcopy-tulis surat,taip surat) atau memberitahu kepada beberapa individu yang amanah untuk menjadi saksi kepada wasiat kita

* Berpesanlah kepada ahli keluarga agar menguruskan jenazah kita menurut syariat Islam yang mudah dan profesional bukannya disulami dengan aktiviti tahyul,khurafat dan meretakkan hubungan kekeluargaan (perebutan harta pusaka)

Apabila kita mati:

1)Semua barangan peribadi kita akan disimpan/ dikemas/ dibahagi-bahagikan/dibuang?...contohnya buku-buku,baju kemeja,al-Quran,kasut Crocodile, seluar Jeans,alat tulis,sejadah,tuala,tudung,lap top,jam tangan, minyak wangi, koleksi setem,kereta MyVi kita ,barang kemas,skate board,koleksi pinggan mangkuk, selimut akan diguna/disimpan/diderma atau disedekahkan kepada adik beradik yang lain,anak yatim atau orang yang kita sendiri mungkin tidak kenal...

2)Semua wang simpanan kita-wang akaun CIMB,BIMB, MayBank, KWSP,Tabung Haji,wang pelaburan,wang yang ada dalam dompet atau tabung kita di dalam bilik, tanah pusaka,rumah,wang pencen bagi kita yang telah pencen akan dikumpulkan kemudiannya dibahagikan dalam bentuk faraid,jika ada wasiat akan dibahagi-bahagikan mengikut apa yang diwasiatkan.Harta sepencarian akan diuruskan oleh pasangan dan ahli keluarga yang masih hidup.

3) Kematian kita akan dilaporkan kepada pihak polis,kad pengenalan kita akan dihapuskan dalam dokumen negara (tidak lagi digunakan)

4) Kita akan dimandikan,dikafankan,disembahyangkan dan dikuburkan di tanah perkuburan yang berhampiran,dekat dengan rumah kita sekarang/tempat kelahiran kita atau disemadikan di tempat kita meninggal dunia (Mekah, Turki, Syria dll)

5) Foto/barangan yang kita pernah hadiahkan/blog/FB/SMS/Apa-apa catatan penulisan/lagu kegemaran/barangan yang pernah kita pakai  akan dijadikan kenang-kenangan oleh orang yang masih hidup

6)Berita kematian kita akan disebarkan sama ada dalam mesej SMS, televisyen (berita lemas,kemalangan jalan raya,jatuh bangunan dll), internet, mulut ke mulut, WhatsApp dan sebagainya

7) Segala sifat baik atau buruk kita akan terbongkar di dunia (cerita yang disampaikan oleh ahli keluarga, sahabat baik,jiran sekampung, sanak saudara, musuh kita, media massa dll) setelah kita meninggal dunia. Contoh sifat baik yang terbongkar: meninggal dunia ketika berjalan ke masjid,conth sifat buruk yang terbongkar:meninggal dunia ketika mengambil dadah berlebihan/berkareoke di kelab malam

8) Ada juga yang menerima anugerah setelah kematian (pingat keberanian, pingat jasa, hadiah nobel dll)

9) Kita akan didoakan oleh orang ramai, anak-anak kita yang soleh dan solehah,pasangan kita,sahabat baik atau sesiapa sahaja yang berdoa untuk kesejahteraan umat Islam secara umum, atau oleh individu yang ingat,kasih,rindu kepada kita

10) Akan muncul individu-individu yang meminta dibayarkan hutang mereka kepada ahli keluarga kita jika kita tidak melangsaikan hutang kita sendiri ketika kita masih hidup

11) Akan ada individu yang akan membantu hal-hak akhirat kita seperti membantu membayarkan zakat/menggantikan puasa/membayarkan hutang/solat jenazah/menyedekahkan pahala atas nama diri kita sama ada dari segi pahala bacaan al-Quran atau sedekah jariah orang yang mengamalkan ilmu-ilmu kebaikan yang pernah kita ajar kepadanya sewaktu masih hidup/mengupah haji untuk kita

12) Jika kita terlibat dengan pendermaan organ,maka organ-organ kita akan dibahagi-bahagikan kepada yang lebih memerlukan

13) Jawatan kita - kepada individu yang masih bekerja akan diambil alih oleh orang lain setelah kita meninggal dunia

14) Sertakan sekali no.akaun bank/ password ATM,username FB dan password dan yg berkait dengan password supaya semua dosa-dosa kita dpt dipadamkan oleh orang yang masih hidup setelah kita mati


Sahabat sekalian,

Apakah maksud barisan senarai perkara di atas ini?

1) Semua yang kita punyai sewaktu hidup di dunia hanyalah sementara,tiada yang kekal menjadi milik kita,walaupun alat tulis, geran tanah tertulis dengan tinta emas nama kita semuanya akan dibahagi-bahagikan oleh orang yang masih tinggal di dunia-jawatan,pakaian,wang,harta,organ badan

2) Apabila kita meninggalkan barang-barang dan perkara-perkara yang baik-baik maka semuanya akan baik-baik sahaja walaupun setelah kita mati kelak.Contohnya: Jika kita banyak membaca bahan-bahan agama,berpakaian yang menutup aurat menurut syariat Islam maka barang-barang kita (bahan-bahan agama itu,pakaian tersebut) akan dibahagi-bahagikan dan disedekahkan/digunakan oleh orang yang masih hidup. Maka tentunya barang-barang baik ini akan diganjarkan pahala oleh Allah selagi ianya digunakan walaupun kita telah meninggal dunia.Bayangkan jika kita mempunyai barang-barang yang melanggar syariat Islam? (contoh:???-fikir sendiri)

3) Berakhlak dan hiduplah yang baik-baik mengikut garis panduan dan syarat Islam. Apabila kita meninggal kelak,manusia yang masih hidup tak akan terlepas dari menceritakan perkara-perkara yang pernah mereka lihat,rasai,fikirkan tentang kita semasa kita hidup sama ada cara berpakaian, pergaulan, percakapan, penulisan, gaya hidup dan lain-lain. Selain itu jika kita hidup dalam kerangka hidup Islam maka apa sahaja yang kita pernah cakapkan, nasihatkan, tunjuk ajar yang baik akan dijadikan ikutan oleh orang yang masih hidup sama ada melalui kata-kata,penulisan,karya kreatif (iklan, filem, gambar) atau akhlak yang kita tunjukkan.

4) Binalah pewaris yang baik agamanya termasuklah menantu/cucu/anak murid/sahabat kita kerana merekalah yang akan cakna dan ambil berat untuk mendoakan, menyedekahkan pahala bagi pihak kita setelah kita meninggal dunia.Mereka akan cakna tentang hal ehwal akhirat kita seperti membantu membayarkan zakat, membayarkan fidyah,menggantikan puasa,membayarkan hutang kita setelah kita meninggal dunia kelak.Malah mereka tidak akan teragak-agak memandikan dan menyembahyangkan jenazah kita kelak.

5) Lakukan sebanyak-banyak amalan yang bersifat memberi dan bukan hanya bersikap menerima. Sedekah kita,wakaf kita, ilmu yang dikongsi, tips kebaikan yang kita beri, bantuan tenaga yang kita berikan semuanya sebagai talian hayat pahala kepada kita walaupun kita telah meninggal dunia

6) Mempersiapkan bekalan dengan barang-barang 'murah' sebelum menjadi mahal harganya apabila mati kelak seperti melazimi istighfar, solat sunat taubat, membaca al-Quran, solat berjemaah, qiamullail, berbuat bakti kepada ibu bapa,suami, keluarga dan jiran tetangga. Membantu orang yang kekurangan, memberi panduan kepada mereka yang perlukan pedoman.


Sebelum mengundurkan diri,sebuah hadiah sebelum berpisah:

"Katakanlah (Muhammad): Apakah perlu kami beritahu kepadamu berkenaan dengan orang yang paling rugi perbuatannya?"

"(Iaitu) mereka yang amalnya menjadi sia-sia dalam kehidupan mereka di dunia (sewaktu masih hidup), sedangkan mereka menyangka bahawa mereka telah melakukan amal-amal kebaikan."

"Mereka itu adalah orang ingkar kepada ayat-ayat Tuhan mereka dan (tidak mempercayai) pertemuan denganNya (hari akhirat). Maka sia-sia amal mereka dan Kami tidak memberi penimbangan terhadap amal mereka pada hari Akhirat."

"Itulah balasan untuk mereka-neraka Jahanam kerana sifat kekafiran mereka dan kerana sikap mereka yang menjadikan ayat-ayatKu dan rasul-rasulKu sebagai bahan permainan"

"Sungguh orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, untuk mereka disediakan syurga Firduas sebagai tempat tinggal,mereka kekal di dalamnya,mereka tidak mahu berpindah keluar darinya"

(Al-Kahfi ayat 103-106)