Wednesday, 1 September 2010

PENGGUNAAN LILIN UNTUK MASYARAKAT TIDAK RELEVAN

PENDAKWAH  BUKAN SEKADAR LILIN YANG MEMBAKAR

Lilin sepanjang batang pembaris pendek itu, aku letak di ruang  meja tempat aku mentelaah.Aku nyalakan api bagi menerangi  ruang kecil bilikku dan aku perhatikan nyalaan apinya melentok-lentok perlahan  dan sayup-sayup kedengaran  suara riuh adik bongsu  di ruang tamu.Suara keseronokkan  kerana asyik bermain dengan bayang-bayang  tangannya yang dibentuk dengan  pelbagai  jenis bentuk haiwan bersama-sama dengan abang-abangnya yang lain…
Lilin itu semakin mencair  dan tidak lagi ‘tinggi’ seperti asalnya  dan lama-kelamaan  nyalaan api itu padam dengan sendirinya…

Pendakwah bukan semulia lilin yang membakar  diri  tetapi perlu menjadi seteguh   bintang di langit yang terus menerangi para penumpang dunia yang masih memerlukan cahaya bagi menerangi perjalanan hidup mereka.Jika pendakwah itu lilin dan nyalaan api itu adalah semangatnya dan percikan imannya yang membimbing manusia lain,maka dakwahnya tidak akan bertahan lama.Dakwahnya akan terus lenyap  bersama lenyap dirinya yang dibakar oleh semangat dakwahnya sendiri. Biarpun dilihat mulia kerana membakar dirinya sendiri untuk kepentingan orang lain,tetapi apabila diri sendiri terkorban bersama padamnya api dakwahnya maka  kemuliaan itu menghina dan melenyapkan kekuatan  Islam itu sendiri.
Mengapa?
Dakwah perlu terus,perlu hidup  supaya terus tersebar ke serata tempat hatta ke dalam gua sekalipun.Dakwah  itu terisi di dalamnya Islam,supaya hati manusia itu menjadi subur,supaya akal manusia bebas daripada cengkaman musuh-musuh Allah,supaya imannya yang lemah menjadi teguh dan mampu membimbing dirinya sendiri.Dakwah perlu kepada manusia untuk menggerakkannya.Dakwah tidak dapat tersebar dengan sendirinya,Islam takkan dapat  dipraktikkan dan dihayati jika tiada sesiapa yang menggerakkannya atau menyebarkannya kepada manusia.Oleh sebab  itu,Allah melantik para rasulNya  dan manusia dijadikan khalifah di bumi pinjaman ini dalam usaha menjalankan dakwah di setiap ceruk rantau.
Namun begitu,dalam kesibukan seorang dai’e dalam menjalankan usaha dakwah dia akan pincang apabila dai’e itu sendiri melupakan dirinya sendiri.Iman seorang dai’e masih lagi mempunyai sifat sebagai seorang hamba yang sering diuji dan dilatih dengan pelbagai ujian daripada Allah.Jika dia melupakan dirinya maka dia telah melupakan imannya sendiri.Iman manusia perlu sentiasa disiram agar tidak layu atau terus mati.Jiwa manusia perlu sentiasa diberi makanan agar imannya tidak mati kelaparan dan hatinya perlu sentiasa dibersihkan agar tidak menjadi hitam atau tempat menghimpun segala kekotoran.

Penyelesaian?
Tarbiyyahkanlah dirimu sendiri.Tarbiyyah dzatiyah adalah satu perkara yang tidak boleh ditinggalkan sama sekali.Didiklah hati kita,hidupkanlah iman kita,pelihara dan pulihara jiwa  kita agar dakwah itu tidak mati dan berkubur bersama-sama dai’e itu sendiri.
Tarbiyyah ialah satu proses pendidikan dan pembentukan rohani,pemikiran dan gerakan itu sendiri  yang selari dengan dakwah.Bukannya bersifat sonsang.Tarbiyyah dzatiyah merupakan tarbiyyah seseorang terhadap dirinya sendiri.Jika tarbiyyah dzatiyahnya kurang maka gerakan dan perjalanan dakwahnya akan turut sama berkurang.Melalui tarbiyyah dzatiyah,ia akan menjadi satu sistem imunisasi yang akan menjadi benteng kepada segala dugaan dan cabaran yang menyerang dirinya.Melalui tarbiyyah ia dapat menjadikan seorang dai’e itu mampu dan mempunyai kekuatan untuk membawa perubahan kepada orang-orang di sekelilingnya dan bukan hanya terpendam dalam dirinya sendiri.
Tarbiyyah dzatiyah itu satu kewajipan,kemestian dan tidak akan sesekali terhenti biarpun apabila  telah wujud dunia yang menjadikan Islam sebagai panduan utama mengatasi sistem-sistem dan ideologi-ideologi  yang lain.
 Cara?
1) Perbanyakkan amalan sunat.Kesibukan tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk tidak melakukan amalan sunat.Termasuklah berdzikir.Pelbagai cara berdzikir seperti membaca al-Quran(Dzikir paling utama),dzikir dalam pelbagai situsasi dan keadaan seperti doa naik kenderaan,doa melihat ketika bercermin,doa masuk dan eluar rumah dan sebagainya.Selain itu dzikir yang dilakukan pada waktu pagi dan petang (ma’thurat) dan dzikir dengan bilangan tertentu seperti Subhanallah,Alhamdulillah,Allahuakbar,dzikir mutlak yang tiada kaitan dengan tempat,waktu dan keadaan seperti Lailahaillallah,selawat dan sebagainya.
2) Pertingkatkan kualiti amalan fardhu dan kewajipan hamba kepada penciptanya.Seperti tahap keihlasan,tahap kesabaran,tahap tawakal dan redha,tahap kekhusyukkan  kepada Allah supaya ibadah kita tidak menjadi adat atau rutin yang membosankan(mengerjakannya sekadar perbuatan jasad yang tidak disertai dengan hati/roh)
3) Menambah ilmu agama yang paling utama dan ilmu pengetahuan lain sebagai tambahan dan membantu kesempurnaanya seperti ilmu psikologi,sosiologi,sains dan sebagainya  agar nilai dan kualiti iman dapat ditingkatkan.Pemikiran dan akal terus berfungsi dengan baik dan tidak dibelenggu dengan pemikiran jahiliyyah atau taqlid buta.
Terdapat beberapa perkara ketika menuntut ilmu iaitu :
1- IKHLAS dalam mencari ilmu dan hanya mengharapkan keredhaan Allah agar ilmu ini diterima daripada Allah dan bermanfaat dengan izinNya.
2- RAJIN mencari ilmu dan meningkatkan ilmu pengetahuan tanpa henti biarpun telah mendapat ijazah peringkat tertinggi.
3- AMAL dan TERAP kan dalam diri sendiri.
4- BAYAR zakat dan TUNAIKAN HAK ilmu dengan menyampaikannya kepada orang lain.

4) Sentiasa bertaubat dan bersama-sama dengan orang-orang yang cinta akan Islam yang sanggup mati keranaNya.Ibnu Qayyim rahimahullah berkata: Segera bertaubat daripada segala dosa itu wajib dilakukan dengan segera dan tidak boleh itunda.Jika taubat ditunda,pelakunya melakukan maksiat kepada Allah kerana menunda-nunda taubatnya…”.Ibnu Taimiyyah pula berkata: Seorang hamba selalu berada dalam nikmat Allah yang perlu disyukuri dan dosa yang harus diistighfari(memohon keampunan).Kedua-dua keadaan ini selalu berlaku kepada seorang hamba.Dia selalu bergelumang dengan nikmat Allah,perlu bertaubat dan beristighfar.Kerana itulah manusia terbaik dan imam orang bertaqwa ialah Rasullullah S.A.W yang beristighfar kepada Allah dalam segala keadaan.Jelas kepada kita dosa dan maksiat merupakan sebab terbesar terputusnya hati daripada Allah,lemah dan tiada keinginan kepada kebaikan dan amal soleh.
Apakah itu dosa?Dosa : tidak melakukan kewajipan-kewajipan syari’e  atau melalaikannya dalam bentuk tidak melaksanakannya dengan sewajarnya.BUKAN hanya tertumpu kepada zina,mencuri,membunuh,berbohong,mengumpat(ghibah) dan sebagainya.Tetapi lalai mengerjakan solat pada waktunya,malas mengerjakan solat secara berjemaah atau kurang khusyu’,tidak peduli tentang keadaan kaum Muslimin yang lain,tidak melakukan amar ma’ruf nahi munkar dan sebagainya.
Bagi golongan salaf mereka menganggap tiada bezanya antara dosa besar dan dosa kecil tetapi yang lebih penting ‘KEPADA SIAPA ANDA BERSALAH?’
5) Muhasabah.Hitunglah  amalan kebaikan dan keburukan yang kita lakukan supaya sejarah yang tidak baik tidak berulang kembali.Menurut Ibnu Kathir rahimahullah : Hisablah(analisa) diri kalian sebelum kalian dihisab.Menurut Ibnu Qayyim terdapat 2 jenis muhasabah iaitu  1)muhasabah sebelum melakukan sesuatu perkara dan 2) muhasabah selepas melakukan sesuatu perkara.Muhasabah diri selepas melakukan sesuatu perkara pula terbahagi kepada 3:
1) Muhasabah diri atas ketaatan terhadap Allah yang telah dilalaikan
2)Muhasabah diri atas perbuatan  yang lebih baik tidak dikerjakan daripada dikerjakan(dilakukan).
3)Muhasabah diri atas perkara-perkara mubah dan wajar,kenapa melakukannya?Adakah dilakukan kerana Allah dan akhirat? Atau kerana dunia?
Al-Hasan al-Basri rahimahullah berkata: Orang mukmin itu merupakan pengelola(pengurus) kepada dirinya sendiri.Dia menghisab dirinya atas ketaatan kepada Allah.Hisab sebahagian orang dipermudahkan pada hari Kiamat kerana mereka telah muhasabah diri mereka ketika di dunia dan hisab sebahagian manusia menjadi sukar kerana mereka melakukan banyak perkara tanpa muhasabah.
6) Berdoa.Berdoa dengan penuh pengharapan dan sentiasa memohon kepada Allah hidayah  dalam setiap keadaan.Doa merupakan permintaan seorang hamba kepada Khaliqnya(Pencipta),pengakuan kelemahan,tiada daya dan kemiskinan diri dan pernyataan tidak mempunyai daya kekuatan dan pengakuan segala kekuatan dan nikmat hanya daripada Allah Ta’ala.
Diriwayatkan oleh at-Thabrani dan sandnya hasan :
Rasullullah S.A.W  telah bersabda: Iman pasti lusuh di hati salah seorang dari kalian sebagaimana pakaian itu lusuh.Oleh itu mintalah kepada Allah supaya diperbaharui iman di hati kalian.
7) Mujahadah.Sabar merupakan bekal dan motivasi untuk terus bermujahadah dan memperkuatkan amalan ini(mujahadah).Jika seseorang tidak sabar,dia telah gagal dalam melawan dirinya sendiri.Ibnu Qayyim rahimahullah berkata : Allah mengkaitkan petunjuk dengan jihad.Jadi orang yang paling sempurna petunjuknya ialah orang yang paling banyak jihadnya.Jihad paling wajib ialah jihad melawan jiwa,jihad melawan hawa nafsu,jihad melawan syaitan dan jihad melawan dunia.Sesiapa yang melawan keempat-empat perkara ini kerana Allah,Dia memberinya petunjuk kepada jalan-jalan keredhaanNya yang membawanya ke syurga dan jika sebaliknya dia gagal  maka gagal mendapat petunjuk dan bergantung  kepada sejauh mana ia meninggalkan jihad.
Mujahadah perlu dilakukan secara bertahap iaitu sedikit demi sedikit dan bukannya secara drastik.Lakukanlah sesuai dengan kadar kemampuannya dan janganlah lalai dan perlu dilakukan secara berterusan tanpa putus(istiqamah).

Tarbiyyah Allah secara umumnya  ada di mana-mana.Ketika memandu kenderaan,membersihkan longkang,selesema,melancong dan sebagainya.Sama ada anda sedar atau tidak,pada waktu sekarang anda juga sedang ditarbiyahkan!Begitu juga dengan wan.


No comments: