Aku seorang dai’e,walaupun amanah ini aku tahu aku takkan dapat laksanakannya dengan sempurna tetapi inilah salah satu tujuan manusia itu diciptakan,dan terbukti apabila manusia itu diberi keistimewaan yang tiada pada makhluk lain iaitu kelebihan akal.Sesungguhnya cabaran sebagai seorang dai’e bukan calang-calang cabaran.Banyak musuh dari hadapan,depan,kiri dan kanan.Mujahadah ini berlaku pada setiap masa sama ada dai’e itu sedar atau tidak.
Maksudnya :
Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus.Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur".
(Surah al-A’raaf: 15-16)
Seorang dai’e juga seorang manusia biasa yang juga melakukan kesilapan,kadang-kadang tergelincir dan jika tidak berhati-hati lama kelamaan akan terus hanyut atau menjadi bahan fitnah yang terbesar dalam Islam.Persepsi masyarakat sejak dari dahulu lagi tidak berubah iaitu seorang dai’e itu mesti bersih dan sempurna daripada segala aspek.Seorang dai’e juga kebiasaanya akan mengalami ujian yang lebih berat daripada masyarakat.Tanggung jawab yang akan disoal di akhirat kelak juga lebih berat dan banyak kerana bertindak sebagai pemimpin kepada manusia lain.Tanpa kita sedari, iman seorang dai’e sentiasa berkurang dan bertambah,sentiasa berubah-ubah.Banyak hal yang berlaku,yang tidak terjangka dan tidak terduga.Keadaan ini sering menguji tahap keimanan seorang manusia yang bergelar dai’e .Oleh itu seorang dai’e wajib bersedia daripada segi fizikal dan mental untuk segala kemungkinan! Kehilangan harta dan keluarga tercinta kadang-kala mampu menyebabkan seorang dai’e mula berehat panjang atau terus mati dalam jalan dakwah.Kadang-kadang juga bukan kerana sakit biasa tetapi sakit dalaman yang tidak mampu dirawat menggunakan ubat-ubat kimia yang sedia ada,dengki-mendengki oleh saudara sendiri, terpaksa memilih antara dua jalan dan banyak lagi dugaan yang sering kali tidak dapat kita jangka.Cabaran iman ini akan menyebabkan diri seorang dai’e itu futur (gugur dalam perjuangan) di jalan dakwah.Apabila virus ini mula menjangkiti hati,seorang dai’e perlulah berusaha mengubatinya dalam kadar yang segera dan tidak boleh dilengah-lengahkan lagi kerana virus ini sangat bahaya dan boleh menyebabkan hati mati dalam masa yang singkat sahaja!
Oleh itu,wan ingin kongsikan sedikit penawar bagi mengubat penyakit futur yang boleh menyerang kepada sesiapa sahaja yang bergelar sebagai seorang dai’e.
1) Dekatkanlah diri dengan Allah
Sepanjang kita bergelar sebagai seorang dai’e yang giat mengajak manusia lain mengingati Allah,kita terlupa untuk mengingatkan diri sendiri supaya ingat kepada Allah.Keadaan ini berlaku apabila tugas mengajak kepada kebaikan itu menjadi satu rutin sebagaimana rutin kehidupan manusia yang akan makan pada jam 10.30 pagi,pulang dari tempat kerja pada pukul 5 petang dan sebagainya.Kadang-kadang kita lupa pergantungan kita kepada Allah dalam menyeru manusia ke arah kebaikan.Kita hanya memikirkan segala usaha dan keberhasilan mengajak mad’u kepada perkara ma’ruf itu adalah hasil daripada usaha kita sendiri sedangkan dari sudut realitinya hidayah itu milik Allah dan Allah yang berhak memberikan kepada sesiapa yang dikehendakinya.Perkara-perkara inilah yang menjauhkan hati ini daripada Allah.Oleh itu,seorang dai’e perlulah memperbaharui niatnya dan sentiasa memelihara hubungannya dengan Allah.Isilah perut rohani dengan makanan ibadah ikhlas,khusyu’ dan berusaha meningkatkan kualiti ibadah melalui penilaian dan kayu ukur Allah Ta’ala.
2) Bacalah kisah para nabi dan para pejuang Islam
Bagi wan,membaca kisah-kisah perjuangan dai’e dahulu dan sekarang mampu mengembalikan semula semangat yang hilang.Terlalu banyak kisah seorang dai’e wanita atau lelaki yang dapat diambil iktibar yang memulihkan semangat dan mengubat jiwa yang futur. Kisah mereka berbeza tetapi ujian yang dilalui banyak persamaannya kerana kita juga diberi tanggungjawab yag sama iaitu sebagai dai’e seperti mereka juga .Mereka diuji berdasarkan kepada tahap keimanan masing-masing dan mereka buktikan keimanan mereka apabila diuji oleh Allah dengan hebat sekali.Contohnya Sheikh Ahmad yasin yang masih tetap menjalankan dakwahnya biarpun berada dalam keadaan cacat anggota(lumpuh),malah masih meletakkan harapan dan kata-kata “Saya punya firasat akan segera mendapatkan kesyahidan dan memang itulah yang saya minta. Saya hanya mencari akhirat, bukan dunia”.Renung sejenak kata-kata yang dikeluarkan oleh Dr.Sheikh Rantisi, “All the people will died, it 's same either you died because of Cardiac attack and Appacher(helicopter) , i prefer appacher.........”
Begitu juga dengan kata-kata semangat Yussuf Azzam, “Tidak ada alasan terlalu tua untuk berjihad”.Kemiskinan,harta dan pangkat langsung tidak mengubah pendirian mereka untuk terus thabat di jalan Allah!
3) Berada bersama-sama dengan dai’e yang lain
Pernyataan ini menggambarkan kepentingan ukhwah dan amal jama’i.Keseorangan dalam menjalankan gerak kerja dakwah sememangnya memudahkan kita futur dan terus hilang dalam jalan ini.Pada saat kita sibuk dengan urusan dakwah,kita seringkali mengabaikan kebajikan fizikal dan rohani.Tetapi jika kita berada bersama-sama dengan golongan dai’e yang lain,diri kita sentiasa terjaga,diperingatkan dan diberi perhatian dan dapat dijadikan sebagai pemberi semangat untuk terus bergerak di jalan dakwah biarpun terpaksa merangkak.Lihat sendiri bagaimana Rasullullah S.A.W. tidak berjuang berseorangan tetapi bersama-sama dengan para sahabatnya yang lain.Mereka sentiasa ingat memperingatkan antara satu sama lain,berkongsi masalah dan pendapat dan menjaga hak antara sahabat-sahabatnya yang lain sebagaimana mereka menjaga diri mereka sendiri.
Jalan dakwah tidak mudah tetapi jalan inilah yang diredhai Allah.
No comments:
Post a Comment