Thursday, 11 February 2010

Tukar kedudukan,berbezalah pandangan




Tips Menjadi Orang Kena Dakwah Yang Berjaya
Assalamualaikum WBT.

ok selalunya kan kita baca orang akan tulis tentang metod dakwah yang betul, bagaimana nak menghadapai orang-orang kena dakwah atau dengan perkataan famousnya Mad'u. Selalulah digarap hal-hal yang perlu dilakukan pendakwah atau kata famousnya dai'e. Antara perkataan yang selalu diguna kena berhikmah, kenal dulu siapa orang yang kita nak dakwah dan lain-lain. Tapi jarang atau senang kata tak pernah lagi aku jumpa tulisan atau ceramah sebut tentang method orang yang didakwah. Macam mana cara nak terima dakwah dari pendakwah.


ok, maka dengan sedikit pengalaman aku sebagai orang yang selalu kena dakwah dan adalah sikit-sikit berdakwah, maka aku nak simpulkan beberapa tips yang patut aku dan anda sekalian amalkan apabila seorang saudara atau saudari kita ataupun dengan perkataan yang terkenal dikalangan budak-budak Islamis iaitu Ikhwah dan Akhawat. Apakah tips-tips itu? Mari kita saksikan.


Apakah itu method atau jalan yang lurus ataupun Sirothul Mustaqim apabila membaca topik ini. Inilah dia jalan yang lurus itu:


1) Letakkan diri kita sebagai seorang manusia yang kena dakwah dan bukannya sebagai seorang pendakwah.


2) Lupakan tentang orang lain apabila membaca tulisan ini. Ingat tentang diri kita dahulu.


3) Lupakan segala pengalaman kita berdakwah. Sebaliknya ingatlah pengalaman-pengalaman kita apabila didakwah.


ok mari kita check satu persatu.


Tips-tipsnya ialah:


1) Lihat apa yang dikata, jangan lihat pada siapa yang berkata- Sekiranya kita adalah seorang lelaki yang malas nak pergi solat berjemaah di surau ataupun masjid. Kita ni budak yang rajin pergi kelas, tiba-tiba datanglah seorang mamat ni. Dia ni boleh tahan rajin solat jemaah, tetapi malas sikit dalam belajar. Dia ajak kita pergi solat jemaah. Apakah respond kita?


Mungkin kita akan cakap "Elleh, kau selalu 'tuang' kelas, tunjuk bagus nak ajak aku solat, blahlah oi".


Mungkin juga kita akan cakap "Kau sebelum nak nasihat aku, naikkan dulu pointer kau tu, setakat rajin solat tapi pointer rendah buat apa!". Dan mungkin banyak lagi.


Yang sepatutnya kita buat ialah menerima apa sahaja nasihat tak kira dari siapa pun yang datang memberikannya. Hatta kalau orang bukan Islam suruh kita buat baik, kita mesti terima nasihat itu.


2) Lupakan kejahatan si pendakwah- Mungkin si pendakwah ini ada sedikit kecacatan moral. Contoh kita ni rajin sangat solat, tapi pakai baju ketat-ketat. Lepas tu datanglah seorang minah bertudung labuh ajak kita menutup aurat dengan sempurna. Malangnya minah bertudung labuh ini terkenal dengan mulut lasernya suka mengumpat dan menjadi CNN di kalangan teman-teman hostel.


Apa reaksi kita? Mungkin kita akan kata: "Pakai saja tudung labuh, tapi hati busuk buat apa".

Atau mungkin yang lagi laser akan jawab: "Elleh. Aku tak nak jadi macam kau, pakai saja tutup aurat,tetapi cakap tak ada insurans."


Cara yang betul ialah mengucapkan terima kasih kepad si pendakwah kerana mengajak kita kepada kebaikan. Jangan hiraukan kejahatan si pendakwah, ingatlah kebaikan di dalam apa yang dia ajak.


Benda ini juga patut diaplikasi jika kita ni seorang yang tutup aurat, ala-ala gadis muslimah terakhirlah. Tiba-tiba datang minah pakai baju ketat dengan seluar jeans ajak kita pergi solat jemaah di surau. Janganlah kita tunjuk handal mengungkit tentang pakaiannya, sebaliknya hargailah ajakan dia.


3) Jangan selidiki pendakwah- mungkin kita akan didatangi oleh seseorang yang pandai mengajak orang tetapi dia sendiri tak buat apa yang dia cakap. Dia ajak kita solat jemaah tetapi dia sendiri solat di bilik. Dia ajak kita jangan buang masa duduk chatting-chatting, tapi dia ni dekat bilik kaki main game FIFA.


Terima nasihat dia. Tidak perli sibuk-sibuk menjadi ejen FBI mahupun CIA untuk menyiasat sama ada si pendakwah ini melakukan apa yang dia dakwah.


4) Lupakan kebaikan kita- mungkin si pendakwah ini adalah orang yang pernah kita bantu. Maka lupakan segala kebaikan kita kepada pendakwah itu. Contohnya seorang budak lelaki ini dulu ada pinjam duit kita waktu dia susah, kita selalu belanja dia makan dan minum sebab waktu tu dia tak ada duit. Satu hari kita berbelanja sakan, tiba-tiba kawan kita itu kata kat kita, "Tak elok membazir, kan elok jimat cermat".


Apa jawapan kita. Mungkin waktu itu dalam kelajuan 10MB sesaat, memori kita terus memproses segala duit-duit yang kita laburkan untuk sedekah kat kawan kita. Hasil pemprosesan itu mungkin kita akan menjawab "Oi, kau tak sedar diri ke, dengan duit akulah kau dapat survive sampai sekarang. Yang kau sibuk-sibuk apahal!".


Maka lupakan segala kebaikan kita kepada si pendakwah. Ambillah kebaikan daripada nasihat si pendakwah.


5) Jangan beri alasan- Jika kita disuruh menutup aurat, jangan beri alasan panas, jika disuruh ke masjid jangan cakap sibuk. Paling kurang sebutlah "Terima kasih, Insya-Allah saya akan buat."


6) Carilah pendakwah- Kita mesti mencari orang yang boleh mendakwahkan kita. Jangan kita hanya menunggu-nunggu. Tempat yang sesuai mencari pendakwah-pendakwah ialah di masjid atau di kuliah-kuliah. Jika kita masuk ke masjid, dan melihat ada sekelompok manusia yang sedang berkumpul, bercerita tentang isu-isu agama, membuat usrah dan lain-lain pergilah kepada mereka.


7) Jalinkan hubungan mesra- rapat-rapatlah dengan si pendakwah. Jadikan mereka rakan kita. Belanja mereka makan dan minum, ajak mereka borak-borak ke, jalan-jalan ke. Ataupun bantu mereka. Contohnya kalau kita ni jaguh dalam matematik ke, B. Inggeriske, bolehlah kita tolong semakkan assignment-assignment pendakwah kita.


Sekian lah 7 tips menjadi orang didakwah yang berjaya. Sebelum mengundur diri aku ingin mengingatkan larangan apabila membaca topik ini:


1) Jangan baca topik ini dari kacamata seorang pendakwah kerana kita akan mencari-cari alasan untuk menjawab topik ini.


2) Jangan berfikir tentang rakan-rakan kita yang menjadi orang yang didakwah kerana nanti kita akan asyik mencari-cari kesalahan mereka sebagaimana yang tertulis dalam tips-tips di atas.


3) Jangan menjadikan tulisan ini sebagai satu teori untuk dibahas dan didebatkan, sebaliknya jadikan ia satu benda untuk diamalkan.


Ditakuti dengan melakukan larangan-larangan di atas, ia akan menjerumuskan kita ke jalan yang bengkok dan bukan lagi jalan yang lurus. Silap-silap jalan yang bengkang-bengkok itu akan membawa kita ke lembah gaung yang tak diketahui dalamnya.


Maka. Aku ingin mengingatkan diri aku dan diri-diri pembaca sekalian. Apa yang aku tulis ini hanyalah apa yang aku rasa dan alami apabila menjadi seorang manusia yang didakwah. Maka, tulisan ini adalah nasihat kepada diri sendiri sebelum menasihati orang lain. Dengan menasihati orang lain, kita sebenarnya menasihati diri sendiri.


Apabila kita mengajak manusia bersolat jemaah sedangkan diri kita sendiri selalu solat seorang diri di dalam bilik, lama kelamaan nasihat kita akan memberi kesan kepada diri kita. Kita akan asyik teringat apa yang kita ajari dan lama-kelamaan kita akan memegang apa yang kita ajari walaupun mungkin sebelum ini kita ialah manusia yang cakap tak serupa bikin.


Sekian Wallahu'alam.

dipetik daripada Portal Ukhwah.com(ditulis oleh Masri2)

No comments: