Yang pergi
Yang telah tiada
Terima kasih daku ucapkan
Kerana pemergianmu
Menjadikan hidupku terasa indah
Atau menjadi sesuatu yang paling terindah
Dan kau pergi tidak sesekali akan kembali
Menjadikan aku bahagia di sini
Pemergianmu
Menjadikan aku lebih kuat
Bukan kerana aku sebelum ini lemah
Juga menjadikan aku lebih menghargai nikmat usia yang diberikan
Sebagai sisa bekalan untuk aku kutip
Dalam perjalanan masa yang pantas
Dan putaran bumi yang menanti saat berhenti
Pemergianmu
Menjadikan aku seorang pemikir
Bagaimanakah aku di saat terakhir waktu?
Adakah sepertimu?
Atau sebaliknya berlaku?
Apakah langkahku setiap waktu akan diekori jemputan waktu paling akhir
Buat aku meneruskan langkahku yang panjang
Di satu alam yang aku sendiri
Tidak pernah alami
Pemergianmu
Menjadikan aku seorang yang berhati-hati
Seorang yang kikir dan pemalas untuk melakukan maksiat
Menjadikan aku seorang yang kagum
Dengan sumbangan saudara lain terhadap Islam
Menjadikan aku si pencemburu terhadap mereka
Yang leka dalam menunaikan amanah mereka
Kepada Allah dengan sebaiknya
Pemergianmu
Menyebabkan aku menjadi Si pemerhati
Si pengawas garang dan tegas terhadap diri sendiri
Supaya gerak laku fizikal dan hatiku
Tidak terbabas masuk ke jurang dosa
Betapa rindu untuk melihatmu
Berada di sisiku seperti dahulu
Terima kasih kerana selalu mendoakan daku
Supaya diberi hidayah oleh Allah
Walaupun Engkau tidak menunaikan doa ini
Pada saat dia hidup
Tetapi setelah dia mati
Pemergianmu
Menyebabkan aku menghargai setiap peluang
Untuk menabur kebaikan
Menghargai setiap sudut perilaku manusia
Agar lebih kasih akan mereka
Bukan hanya menghukum
Tetapi membimbing ke arah redha Tuhan
Adakah ini nikmat sebuah pemergian?
Daku rindu untuk bertemu kamu
Inilah kenangan terindah
Pada saat kau pergi hidayah itu hadir dalam diri
Semoga pemergianku nanti
Akan ada jejak benar yang aku tinggalkan
Dan jurang-jurang dosa aku tutup kemas
dan rumah-rumah kebaikan aku tinggalkan
Supaya yang masih hidup
akan berteduh dan meneruskan pembinaannya
sehinggalah satu ketika
redha Allah
tidak lagi menjadi impian
tetapi kita telah berada
dalam golongan ini
ameen
-hambaAllahsampaiakhir-
No comments:
Post a Comment