Monday, 20 February 2012

Tiada lagi 50-50 tetapi 100%

Saat demi saat kian rakus meninggalkan aku,begitu pantas sehinggakan aku rasa tidak wajar hidup ini dihabiskan dengan menunggu dan begitulah juga setiap  saat-saat dalam usaha untuk melakukan  kebenaran itu.Tidak perlu ditunggu-tunggu.Fastabiqul khoirot (Berlumba-lumbalah dalam melaksanakan kebaikan)

KEBENARAN.....

Hanya menunggu waktu untuk menjelmakan diri dalam lautan kebatilan,menunggu waktu untuk muncul dalam kegawatan kezaliman dan tidak lama lagi akan hadir menaiki takhta menggantikan hamba-hamba yang tunduk dengan bayang-bayang Si Kebatilan.

Banyak contoh yang telah kita saksikan..adakah ini sebagai satu hidayah? pembuka ruang pemikiran? cahaya yang menerobos hati yang kelam? atau menguji tahap kekuatan iman?

Kejatuhan pemerintahan Tunisia dan Housni Mubarak,kemenangan majoriti  pro-mahasiswa dalam PRK dan selepas ini apakah lagi kebenaran yang tersingkap???Adakah selepas ini negara kita ??? dan bebasnya tanah air Islam Palestin yang dicintai dan diberkati selama ini?

Ya akhi,ya ukhti,ya ashabi wa ya muslimin wal  muslimaat

 usah ditanya " kam sa'ah (bilakah masanya)?"

Kebenaran itu akan tiba juga
Kebenaran tentang ajaran  Islam yang selalu disangsikan
Kebenaran mengenai syariat Islam yang selalu diragukan
Kebenaran mengenai azab dan pembalasan yang selalu dilupakan
Kebenaran mengenai janji-janji Allah kepada hambaNya yang beriman atau yang melakukan keingkaran

Percayalah
mengapa wujudnya pertelingkahan dan paling buruk peperangan?
Semuanya adalah untuk menegakkan kebenaran
Kebenarann yang dilihat melalui sudut pandang sebagai seorang manusia
Takkan kekal lama,mungkin juga kebenaran yang difikir itu salah sebenarnya
Kebenaran yang datang daripada Allah itu kebenaran yang sebenar-benarnya

Ingat,kebenaran itu tidak dilihat kepada ramainya manusia yang menyokong atau memuja-muja satu-satu perkara
Tidak juga dilihat melalui janji manis atau tutur kata yang berapi-api ayatnya
Bukan juga apabila dipegang oleh manusia yang popular,berkedudukan  atau ternama
Jangan mudah terpedaya!
Kebenaran itu boleh berada dalam kelompok yang dilihat dhoif dan papa
boleh juga berada dalam tangan si tua atau orang yang biasa-biasa sahaja
boleh juga berada dalam situasi sedikit sahaja yang memperjuangkannya
kerana hakikat kebenaran
adalah daripada Allah Pemilik segala yang ada di langit dan di bumi
bukan milik manusia,bukan milik nafsu atau akal yang dilihat sebagai penentu yang jitu

Rugilah jika tidak bersama-sama dalam jalan kebenaran
pada saat orang lain bersorak kemenangan
pada saat golongan lain masuk ke dalam syurga yang dijanjikan
pada sebelah pihak lain,mereka murung dan kesedihan
mereka muram dan wajah yang tiada keceriaan
kerana pengakhiran atau hakikat kemenangan
bukan apabila gol kebatilan disambut dengan penuh keriangan atau sorakan
atau disebut-sebut  dalam kaca media dan mulut para pimpinan
tetapi
hakikat kemenangan dan hakikat kebenaran apabila semua makhluk diberi keadilan
tiada penindasan,tiada kepalsuanan
dan segala perkara yang MENDEKATKAN kita KEPADA ALLAH

Allah meletakkan kebenaran kembali ke tempat asalnya
apabila pada hari perhimpunan sedunia
iaitu alam akhirat
segala yang disembunyikan akan dipersembahkan
kepada sekalian manusia dari semua zaman

Carilah kebenaran
melalui Allah
bukan melalui manusia
Bersama-sama kita berada dalam jalan kebenaran
tidak lagi hidup dalam pembohongan dan kepalsuan


"...maka tidak ada sesudah kebenaran itu melainkan kesesatan."
(Surah Yunus:32)

"Dan Kami datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi lalu Kami berkata,:"Tunjukkanlah bukti kebenaranmu."   Maka tahulah mereka bahawasanya yang hak itu kepunyaan Allah dan lenyaplah dari mereka apa yang dahulunya mereka ada-adakan." (Al-Qashash:75)


Setiap kebenaran
Betapa ditekan
Tetap menjalar
Tanpa dibaja kan tetap mekar
Tanpa udara pun kan tetap segar

-sajak A.Samad Said-

(peringatan bersama)

No comments: