Wednesday, 4 November 2009

……………...…BERSAHABAT KERANA ALLAH……………………

……………...…BERSAHABAT KERANA ALLAH……………………

Dalam mengejar kesempurnaan kehidupan duniawi, pelbagai aspek kehidupan perlu di ambil kira termasuklah dalam bersahabat. Bahkan Rasullulah juga pernah bersabda supaya mencari sahabat kerana setiap sahabat itu ada syafaatnya pada hari kiamat.Namun begitu, mencari sahabat yang baik bukan perkara yang mudah. Nak mencari hati yang suci, bukan ilmu kita untuk menilai hati manusia, hanya Allah saja yang tahu isi hati seseorang. Akan tetapi, perwatakan dan sahsiah yang mulialah yang mencerminkan segala-galanya. Akhlak mahmudah yang diamalkan merupakan indikator untuk mengukur sejauh mana seseorang itu bertaqarrub kepada Allah Yang Maha Esa. Sahabat yang baik semestinya membantu dalam membentuk ukhuwah fillah. Jadi apakah tujuan manusia bersahabat??? Tujuan manusia bersahabat boleh dikategorikan kepada 4.

1. Bersahabat kerana Zat(diri) orang tersebut.

- Ramai manusia hari ini tergolong dalam kategori ini. Tidak kira tua atau muda, kecil atau besar,zat (diri) seseorang masih di ukur untuk dijadikan sahabat. Yang hensem, smart, macho, bergaya, cantik ,lawa, cute, itulah yang menjadi rebutan sedangkan yang kurang bergaya dan kurang cantik atau seumpamanya sering disingkirkan. Sebaliknya sahsiah dan akhlak seseorang tidak dijadikan kayu ukur untuk dipilih menjadi sahabat. Impaknya, mereka yang buruk akhlak dengan mudahnya diambil sebagai kawan atau sahabat.
- Sabda Rasulullah yang bermaksud: ’’sesungguhnya Allah tidak melihat kepada paras rupa dan harta benda tetapi Allah menilai seseorang pada amalan dan hati mereka“
- Kerana itulah kita pun perlu melihat kepada hati dan amalan seseorang untuk dijadikan kawan bukan pada kecantikan atau paras rupa. Baik hati, maka baiklah segala-galanya.


2. Bersahabat kerana maslahat (kelebihan) di Dunia. (Seseorang yang bersahabat dalam ketegori ini, akan bersahabat untuk mendapatkan nikmat keduniaan seperti kekayaan & pangkat).

- ini juga banyak berlaku dikalangan manusia hari ini, baik muslim atau bukan muslim. Terlalu mengimpikan harta dan cinta dengan kehidupan dunia.
- Kerana terlalu mengejar harta, golongan kaya dijadikan kawan sedangkan golongan miskin dipinggirkan begitu sahaja. Perkara ini jelas bertentangan dengan prinsip islam. Sepatutnya kita menghampiri golongan miskin yang fakir dan dhaif, memberi mereka dorongan dan bantuan untuk hidup, bukan menjauhi mereka!!!.
- Mungkin ramai yang berfikir bahawa dengan berkawan atau bersahabat dengan golongan yang kaya, mereka juga akan jadi kaya. Bukankah ini menunjukkan sikap mementingkin diri sendiri??
- Begitu juga yang telah kaya, berkawan dengan golongan yang kaya-kaya sahaja kerana menganggap setaraf dengan mereka. Akhirnya timbullah perasaan riya’, takabbur, ego dan sebagainya. Kemudian timbul pula sikap kedekut nak bersedekah, dan mengeluarkan zakat kerana bimbang harta mereka habis dan malu dengan kawan-kawan yang kaya-raya.

3. Bersahabat kerana maslahat (kelebihan) di Akhirat. (Mereka bersahabat kerana untuk mendapatkan Akhirat seperti bersahabat dengan orang yang berilmu supaya mudah beribadat kepada Allah S.W.T.)
- berkawan kerana akhirat tidak salah akan tetapi ingatlah bahawa islam tidak hanya mementingkan akhirat semata-mata. Kejayaan duniawi juga penting untuk menjalankan syariah islam. Pendek kata, memilih sahabat ang seimbang dalam maslahat dunia dan akhirat merupakan aspek yang perlu di ambil berat. Kerana apa? Contohnya, untuk bersaing dengan kuasa barat, ummat islam perlulah menguasai ekonomi dunia dan pelbagai bidang lain seperti ketenteraan, perubatan dan sebagainya agar golongan kuffar gerun dan takut dengan kehebatan ummat islam. Hal ini juga secara automatik dapat menyelamatkan maruah dan kesucian islam daripada ditindas sepertimana yang berlaku di Iraq, Iran dan Afghanistan.


4. Bersahabat kerana Allah S.W.T. (Allah S.W.T memerintah diantara satu sama lain hendaklah ada kasih mengasihi seperti ia mengasihi dirinya sendiri). Golongan ini adalah golongan yang terbaik dan hampir dengan Allah S.W.T

- kategori yang ke-4 inilah yang sepatutnya wujud dalam masyarakat kita. Namun begitu, kategori inilah yang paling jarang ada pada hari ini. Tidak seperti zaman sahabat nabi dulu, mereka bersahabat bukan kerana harta, bukan kerana paras rupa, sebaliknya kerana menyahut seruan Allah supaya saling kenal-mengenali antara satu sama lain. Firman Allah dalam surah al- Hujaraat,ayat 13:

Maksudnya: ’’ Hai manusia, Sesungguhnya kami menciptakan kamu daripada lelakii dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal“.

- Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Allah menggalakkan kita kenal mengenali antara satu sama lain bukan hanya sesama bangsa sahaja bahkan islam tidak melarang kita bersahabat dengan bangsa lain selagi tidak melanggar syariat islam.
- Dengan lahirnya perasaan bersahabat kerana Allah, maka lahirlah ukhuwah yang suci lagi bersih perpaksikan kepada mardhatillah.
- Selain itu, konsep ini juga akan melahirkan perasaan taqwa yakni takut kepada Allah, takut untuk meninggalkan suruhan dan takut untuk melakukan larangan Allah ketika bersahabat. Bukankah hal ini dapat mengelakkan pergaulan bebas , budaya dating dan bermacam lagi kemungkaran?
- Bersahabat kerana Allah hendaklah diisi dengan perasaan kasih kepada saudara sebagaimana kasih kepada diri sendiri. Ini bertepatanlah dengan sepotong hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: ’’ Tidak beriman seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sepertimana dia kasih kepada dirinya sendiri“.
- Dalam kontek bersahabat kerana Allah, terdapat 5 golongan yang perlu dijadikan sahabat dan 5 golongan yang perlu dijauhi daripada bersahabat iaitu:


i. Didekati
• Orang yang berakal.
• Orang baik perangainya.
• Orang yang beragama.
• Orang yang berpegang dengan Ahli Sunah Wal-Jamaah.
• Orang yang Zuhud terhadap dunia.


ii. Dijauhi
• Orang yang banyak berdusta.
• Orang yang Kurang akal.
• Orang yang kedekut.
• Orang yang penakut.
• Orang yang fasik.

Justeru itu berhati-hati dalam bersahabat dan memilih sahabat. Sahabat yang baik pendorong kebaikan manakala sahabat yang buruk pengaruh kejahatan!.
Ingatlah,
bersahabat dengan tukang besi,
kita akan terasa bahangnya.
bersahabat dengan penjual minyak wangi,
kita akan berbau harum.

Jadi, sama-samalah kita memelihara diri kita daripada terjerumus ke lembah kehinaan dan kehancuran sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Baqarah:195.
.....dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, Karena Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.



Sekali lagi saya menyeru kepada diri saya dan diri sahabat-sahabat sekalian agar menjaga ukhuwah sesama kita demi mencari keredhaan Allah (mardhatillah). Sama-samalah kita menjaga hati sahabat-sahabat kita, membantu dan mengasihi mereka






No comments: