Thursday 7 October 2010

DAI’E KERUSI A.K.A ARMCHAIR ‘DAI’E






Pendakwah/penyeru/orang yang mengajak  ialah golongan manusia yang diberi mandat  atau  amanah yang istimewa daripada Allah Ta’ala  untuk menyeru umat manusia yang lain untuk mengamalkan dan menegakkan syari’at Islam.Namun begitu amanah rasmi daripada Allah ini telah dijadikan  satu amanah yang harus dipikul atau dilabel khas untuk golongan yang mempelajari atau mendalami ilmu agama seperti pelajar tahfiz,ma’ahad dan pelajar daripada fakulti pengajian Islam sama ada di luar atau di dalam negara sahaja.Hakikatnya pendakwah bukanlah satu profesion tetapi satu kewajipan kepada umat Islam.Kita adalah pendakwah kepada diri kita sendiri,adik-beradik,ibu bapa,rakan-rakan,jiran dan sebagainya.Bukan hanya bertumpu kepada berdakwah  kepada masyarakat sekeliling tetapi berdasarkan kepada kemampuan masing-masing.Seperti suami kepada isterinya,ibu kepada anaknya,sahabat kepada rakan-rakannya.Guru kepada para muridnya dan majikan kepada pekerjanyaSemua Muslim wajib berdakwah.Berdakwah berdasarkan kepada kemampuan yang ada pada diri masing-masing.
Namun begitu masih terdapat satu fenomena atau isu apabila dai’e itu merupakan seorang armchair dai’e.


ARMCHAIR  DAI’E?


Adakah sejenis makanan atau nama saintifik tumbuhan yang baru???


Armchair bermaksud a comfortable chair often found in a living room .Sebuah kerusi yang  selesa yang selalunya ditemui di ruang tamu . Apakah kaitannya dengan seorang dai’e?
Perkataan ini sebenarnya satu perlambangan atau simbolik kepada cara hidup seorang pendakwah itu sendiri.Kehidupan seorang  dai’e bukanlah seperti sebuah kehidupan di dalam taman bunga atau taman-taman tema tetapi kehidupan seorang dai’e  itu adalah  seperti  sebuah laut,yang mempunyai pasang surutnya dan tidak selalu tenang kerana Islam yang dibawa dan diseru kepada orang lain banyak musuh-musuhnya!Namun begitu,dengan menjadi seorang armchair  dai’e yang hidupnya berteori semata-mata,sentiasa menginginkan keselesaan dan  tidak bercampur dengan masyarakat menunjukkan dai’e  itu  sebenarnya bermasalah.Hal ini demikian kerana,dakwah tidak akan sesekali berkesan dengan cara yang sedemikian.Jika dilihat kepada dalil yang kukuh,dakwah yang disampaikan oleh Rasullullah S.A.W  tidak disampaikan dalam keadaan selesa,semuanya nampak ‘ok’ dan  perlu kepada kesempurnaan tetapi yang penting ialah keperluan untuk melaksanakannya  dengan bersungguh-sungguh dan memberikan yang terbaik.Sebahagian besar masa yang dihabiskan oleh Rasullullah S.A.W  adalah bersosial atau bermuamalat  dan bukannya duduk-duduk di dalam rumah sambil menikmati udara pagi.

Keadaan ini juga dapat dibuktikan melalui kisah Rasullullah S.A.W  yang  sanggup mengunyahkan makanan untuk diberi makan kepada seorang fakir miskin Yahudi,menziarahi orang sakit,berdakwah di pasar,membantu membawa barangan yang berat,bertemu dengan golongan fakir miskin dan duduk bersama-sama dengan mereka dan banyak lagi aktiviti-aktiviti lain yang baginda lakukan sewaktu hidupnya.Oleh itu,seorang pendakwah atau dai’e perlulah mempunyai persiapan dari segi fizikal dan mental.Buang mentaliti terlalu memanjakan diri,buang sifat eksklusif,memelihara hubungan dengan Allah ,bina hubungan yang baik dengan manusia tanpa mengira golongan dan sentiasa bersedia menerima sebarang perubahan atau dugaan.

Semestinya kehidupan seorang pendakwah  tidak mungkin hanya duduk-duduk dalam kawasan berhawa dingin,tidak boleh berpanas,pakaian yang perlu kelihatan eksklusif,mempunyai perasaan jijik,takut  dan berbagai-bagai lagi tanggapan negatif yang mengehadkan lagi usaha dakwah dan mendekati mad’u.Sememangnya ditugaskan untuk berdakwah di kawasan pedalaman memerlukan persediaan mental dan fizikal yang tinggi kerana kita tidak dibiasakan dengan keadaan sedemikian sejak dilahirkan tetapi ini merupakan satu tugas dakwah yang perlu dilaksanakan kerana ianya satu amanah bukan sekadar tugasan atau pekerjaan yang perlu diselesaikan.Begitu juga apabila terpaksa berjaga sehingga waktu pagi atau mendampingi golongan cacat,penjenayah,mat rempit,bohsia,pelacur dan sebagainya.Pendakwah perlu bersikap terbuka dan tidak membuat penilaian dan memandang rendah  sebelum mendekati mereka.
Oleh itu,menjadi armchair dai’e  hanya layak untuk berteori semata-mata.Turun padang dan bercampur gaul dengan masyarakat agar kita dapat mengetahui REALITI  dan LIKU-LIKU hidup manusia dalam hidup ini.Melakukan kajian di bilik atau hanya berada dalam zon selesa tidak menjanjikan kejayaan yang cemerlang dalam usaha dakwah.Pendakwah yang perlu mencari mad’u (sasaran dakwah) dan jika mad’u yang mencari pendakwah itu dikira sebagai satu bonus dan jika pendakwah tidak memanfaatkan kemampuan dan ilmunya untuk membimbing mad’u yang sedia ada itu adalah satu kerugian yang nyata.Berbuallah dengan para peniaga di pasar-pasar,kita akan mengetahui kenapa mereka menipu dalam perniagaan,dampingilah anak-anak muda yang berpeleseran agar kita dapat mendengar luahan dan apa yang tersimpan dalam diri mereka,bercakap-cakaplah dengan golongan OKU dan kita akan turut merasai penderitaannya,dampingilah golongan ahli maksiat supaya kita dapat mengetahui puncanya yang sebenar.Teori sebenarnya tidak mempunyai apa-apa nilai sehinggalah ianya dipraktikkan.Kemudian barulah kita dapat mengetahui adakah teori tersebut mempunyai nilai yang benar atau sebaliknya.Melalui praktikal dalam berdakwah,segala tanggapan negatif atau mitos-mitos ciptaan sendiri atau diperoleh daripada orang lain akan terbukti kesahihannya ataupun sebaliknya.Begitulah kehidupan Nabi Muhammad S.A.W yang sentiasa mendampingi masyarakatnya sehingga baginda mengetahui kemampuan umatnya malahan mendoakan kesejahteraan dan sentiasa bimbangkan keadaan umat Baginda.Keadaan ini jelas membuktikan bahawa,Baginda berada dekat dengan masyarakat.

ARMCHAIR  DAI’E TIDAK AKAN MEMBAWA  KITA/PENDAKWAH  KE MANA-MANA

Sebenarnya  isu pengangguran  yang menghantui para pelajar lepasan universiti terutamanya para pelajar lulusan pengajian Islam tidak perlu  dipandang serius dan bukanlah satu masalah.Bukan subjek atau bidang yang diambil menyebabkan graduan itu tidak mempunyai pekerjaan.Apa yang pasti graduan pengajian Islam yang memikul tugas dakwah perlu bijak,terbuka dan aktif dalam melibatkan diri dalam apa-apa pekerjaan dan bukannya hanya bertumpu kepada pekerjaan berdasarkan kepada opsyen yang diambil.Sebenarnya,banyak ruang dan peluang pekerjaan yang wujud untuk graduan fakulti pengajian Islam terbuka luas dan sangat-sangat dialu-alukan cuma bergantung kepada kemahuan seseorang pendakwah sama ada mahu atau tidak mahu.Pemikiran pendakwah tidak boleh bertumpu kepada pekerjaan makan gaji/selesa-berhawa dingin/tidak mengeluarkan keringat yang banyak kerana seorang  pendakwah itu mestilah ‘lasak’,kreatif  dan berjiwa besar.Banyak ruang-ruang pekerjaan seperti peluang menjadi usahawan,penternak, ,menjadi penggerak  kepada pertubuhan-pertubuhan perhubungan luar seperti Palestin,bekerja di bahagian kepenjaraan atau pusat pemulihan akhlak seperti Sedim,Tunas Bakti dan sebagainya,pegawai di pusat OKU,penerbit rancangan,editor majalah,penasihat di hotel,pegawai PERKIM,Penggerak masyarakat Orang Asli,bekerja di Sabah,Sarawak atau Labuan,menceburi bidang  yang \ kritikal dan kurang  golongan Muslim menguasainya seperti perusahaan atau perkhidmatan berteraskan Islam seperti chalet,amah atau pengasuh (orang gaji Muslim yang mukmin),buku cerita kanak-kanak  dan sebagainya.Terlalu banyak bidang lain yang boleh diceburi berdasarkan kepada ilmu Islam yang diperoleh kerana teras kecemerlangan dan kejayaan sebenar seseorang adalah disebabkan oleh kita mempunyai akidah  atau pegangan yang mantap dalam diri dan panduan yang jelas.Jadilah pendakwah yang bergerak,praktik dan mengaplikasikan apa yang diperoleh kerana ilmu Islam itu luas dan hidup.Ilmu  Islam  juga merupakan ilmu kemahiran hidup dan bukannya untuk dibaca  semata-mata.

# Sememangnya  entri ini merupakan satu entri yang berat bagi wan,tetapi isu ini penting untuk diutarakan.Entri ini pesanan buat diri wan.Semoga terus thabat dan mampu berdiri dan bergerak di jalan dakwah sehingga sampai kepada penamat sebuah kehidupan yang singkat ini.







No comments: