Friday 22 December 2017

CHECKLIST BERGUNA UNTUK ‘UPGRADE’ PERNIAGAAN ANDA


Anda tentunya pernah mengalami pasang surut, naik turun dalam dunia perniagaan. Satu perkara yang merunsingkan setiap peniaga adalah tiada keuntungan dalam perniagaan yang dilakukan malah lebih buruk apabila ianya menyebabkan anda mengalami kerugian.


1) IKLAN , SEBARKAN, MAKLUMKAN

Jika anda belum pernah serius untuk melakukan pengiklanan berkenaan dengan perniagaan anda maka senarai semak pertama ini mampu menjadikan perniagaan anda mengaut keuntungan yang lebih banyak berbanding sebelumnya. Sudah tentu anda pernah mendengar jenama Singer, Kentucky Fried Chicken dan Lipton, bukan? Kesemua jenama ini bukan berasal daripada Malaysia tetapi bagaimana jenama ini terkenal di serata tempat oleh sebahagian besar rakyat Malaysia? Salah satu tips yang membantu menaikkan jenama ini adalah melalui pengiklanan. Iklankan perniagaan anda melalui pelbagai cara supaya anda mempunyai capaian pelanggan yang lebih luas dan potensi bilangan pelanggan yang lebih ramai. Jika anda mempunyai perkhidmatan atau produk yang baik namun tidak ramai yang mengetahuinya maka tidak hairanlah keuntungan perniagaan anda masih lagi di takuk yang lama.

Beberapa contoh platform yang boleh anda gunakan untuk iklankan produk atau servis perniagaan anda seperti bantuan daripada keluarga, saudara mara dan rakan-rakan, melalui media sosial seperti WhatsApp, Instagram, Telegram dan Facebook. Anda juga boleh memilih medium bercetak seperti banner, bunting, surat khabar, majalah atau papan iklan.


2) SENYUM DAN MESRA

Ramai peniaga kurang menyerlah daripada aspek ini. Ianya dapat dilihat dengan jelas di kaunter pertanyaan atau khidmat pelanggan. Tahukah anda, kaunter pertanyaan atau bahagian khidmat pelanggan adalah satu platform yang penting kerana bahagian inilah yang banyak berhubung secara langsung dengan pelanggan. Pelanggan juga mempunyai persepsi bahawa bahagian pertanyaan atau kaunter khidmat pelanggan adalah wakil atau imej kepada sesebuah institusi atau syarikat. Jika layanan yang diterima oleh pelanggan adalah teruk atau tidak memuaskan maka sudah pastilah pelanggan anda akan lari dan berkemungkinan besar terus boikot khidmat atau barangan anda. Ketepikan masalah anda di rumah buat sementara waktu supaya anda terus dapat memberikan khidmat yang terbaik dalam memajukan perniagaan anda dan bukannya menjadikan dunia kerja anda sebagai melepaskan geram dan kekecewaan kepada pelanggan yang membawa keuntungan dalam pernigaan anda.
Jika anda bermasam muka, bersikap acuh tidak acuh, bercakap dengan nada marah, meluat, menghakimi keputusan pelanggan atau dilihat ‘malas’ untuk melayan pelanggan maka keuntungan yang baik dalam perniagaan anda berkemungkinan besar semakin susut dalam beberapa bulan. Namun begitu anda tidak perlulah menjadi terlalu mesra sehingga pelanggan menjadi rimas. Murah dengan senyuman dan mesra bukan bermaksud hanya untuk orang yang peramah tetapi semua orang boleh lakukannya termasuklah bayi!


3) YAKIN DAN JUJUR


Dunia perniagaan memerlukan anda untuk menjadi seorang yang yakin dengan khidmat atau produk yang anda jual. Sebaiknya anda perlu mempunyai pengetahuan asas berkenaan dengan khidmat atau produk yang anda tawarkan. Bayangkan jika pelanggan datang dan bertanya produk ini untuk apa? Anda sendiri tergaru-garu kepala, maka ianya memberi petunjuk bahawa pelanggan juga mula mempunyai perasaan ragu-ragu terhadap produk atau khidmat anda. Namun begitu jangan pula berbohong tentang perkara yang anda tidak tahu, berlakulah jujur kerana kejujuran anda menanam rasa kepercayaan pelanggan terhadap anda. Peniaga yang jujur menjadi kunci untuk pelanggan memberi kepercayaan kerana proses pembelian juga melibatkan kepercayaan.

Pelanggan percaya produk anda mampu menyembuhkan penyakit kencing manis, pelanggan percaya khidmat anda sesuai untuk wanita, pelanggan percaya item anda berkualiti. Jika anda tidak jujur sama ada daripada segi kualiti, kuantiti, spesifikasi, ciri-ciri dan maklumat maka kepercayaan mereka terhadap anda akan terhakis sedikit demi sedikit dan jangan biarkan pelanggan terus boikot produk atau khidmat anda disebabkan sikap anda sendiri!


4) KREATIF

Checklist ini sangat penting terutamanya pesaing anda juga menjual produk yang sama. Ada banyak cara untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan yang kreatif seperti:

(a) Tingkatkan kualiti produk atau khidmat anda

Sama ada daripada segi isi kandungan bahan, pakej yang ditawarkan ataupun cara produk atau khidmat anda dapat dimanfaatkan oleh pengguna.

(b) Kerjasama

Produk atau perkhidmatan anda boleh digabungkan dengan peniaga yang lain. Contohnya si A mempunyai produk minyak wangi yang berkualiti manakala anda mempunyai servis penghantaran yang bagus. Anda boleh melakukan usaha sama dengan si A untuk meningkatkan keuntungan masing-masing.

Kerjasama boleh juga berlaku melalui perkongsian keuntungan atau melalui sistem barter yang dipersetujui bersama. Contohnya anda mempunyai laman web yang mengiklan pelbagai barangan. Oleh itu, anda boleh menawarkan pakej pengiklanan murah atau percuma jika si penjual yang berminat untuk menggunakan khidmat anda menolong anda. Contohnya si penjual menolong anda berkongsi talian laman web anda kepada 10 orang pelanggan atau rangkaian yang si penjual tersebut miliki.


(5) MURAH HATI DALAM BERKONGSI ILMU

Seperti yang kita tahu berkongsi barang menjadikan kuantiti barang tersebut semakin berkurang tetapi berkongsi ilmu menjadikan ilmu yang sedia ada semakin bertambah. Sikap orang yang suka berkongsi ilmu terutamanya berkenaan dengan produk atau perkhidmatan anda sendiri akan menambahkan keyakinan pelanggan untuk membeli atau menggunakan produk atau khidmat anda. Bukan itu sahaja, ianya dapat memupuk sifat percaya antara pelanggan dan penjual kerana penjual dilihat mempunyai ilmu dan kepakaran tentang apa yang dijual. Contohnya anda seorang mekanik. Jika anda tidak lokek berkongsi ilmu tentang cara membaiki karburator atau tips membeli bateri kereta yang baik kepada pelanggan, terutamanya pelanggan baru ianya bukan sahaja menyebabkan pelanggan anda mendapat ilmu baru malahan dapat meningkatkan tahap kepercayaan mereka terhadap anda.



Semoga anda terus berjaya dan bersemangat untuk meningkatkan keuntungan dalam perniagaan anda

No comments: