Monday 8 June 2015

Wahai orang-orang Back For Good (BFG), di manakah kalian setelah pulang ???

Mendapat pangkat BFG sebenarnya dalam hatiku satu amanah dan perasaan yang berat dan kadang-kadang dalam hati ada perasaan girang dan banyak rasa teruja (gilakah aku punya perasaan bercampur-campur?). Perasaan gembira dan teruja kerana akhirnya dapat menjejak kembali tanah dan suasana aku dibesarkan. Tidak sama di tempat kita bermusafir, banyak kenangan yang tersimpan namun aku rasa kerdil jika kembalinya aku ke kampung halaman semata-mata kerana rindukan memori dan kenangan-kenangan. Tarbiyyah sebuah hadiah Allah jua satu ujian, sebagai kayu ukur kepada berapa % hati kita berjaya mengikut acuan tarbiyyah yang diterima di tempat aku bermusafir. Sesungguhnya jika dirasakan tarbiyyah dan kerja kuat dakwah di tempat bermusafir itu ujiannya paling berat aku mula sedar ujian ini tidak akan berakhir walaupun sudah bertukar suasana. Tapisan meningkatkan darjat di sisi Allah dan kebesaran sebuah pahala dan tawaran, ganjaran daripada Allah sentiasa bertambah-tambah, tidak pernah habis maka beban ujiannya pasti turut bertambah, kepayahannya turut meningkat dan terasa berat bagi nafsu...

Pulang ke kampung halaman bermakna aku keluar dari zon selesa. Zon selesa? Begitulah adanya zon yang kita sudah terbiasa dengan sistemnya, kita sudah kenal waqie suasana tarbiyyah, rakan-rakan yang sama sama pagi dan malam melaksanakan gerak kerja dakwah dan tarbiyyah dan sudah kenal benar dengan sasaran dakwah, kita sudah terbiasa dengan lubang-lubang ujian dan mengenal musuh-musuh tersembunyi dan di manakah perkara-perkara yang menyebabkan jalan dakwah ini menjadi terang atau suram. Pulang ke tempat asal dilahirkan merupakan sesuatu yang berbeza. Ya, kerana kampung halaman ini sudah lama ditinggalkan kerana mahu bermusafir di bumi lain. Tentunya peredaran masa mengubah segalanya apatah lagi bertahun-tahun berada di perantauan. Banyak perkara baru yang perlu dipelajari, banyak perkara baru perlu berada di permulaan bukannya disambung terus atau hanya sebagai penyokong di tepian gelanggang. Banyak harapan yang orang lain letakkan pada kita sebagai orang baru semoga ada cahaya baru yang melengkapkan lagi kerja-kerja dakwah di sini.

Kadang kala jika tidak cukup kuat kita mungkin mula membanding bezakan cara kita mendapat tarbiyyah di tempat musafir dengan kampung halaman. Itu terkurang, ini yang menjadi lebihan. Itu terlalu difokuskan dan ini pula diabaikan...paling kurang membanding bezakan input-input yang diperoleh dari naqib/naqibah kita yang dulu dan sekarang kemudian membandingkan dengan ahli-ahli usrah terdahulu dengan ahli-ahli usrah yang baru kita temui...kita mula membanding-bandingkan pula kawasan tarbiyyah dan dakwah, medan-medan yang ada di kampung halaman dengan medan-medan dahulu yang telah kita kuasai di tempat permusafiran...astaghfirullahal 'adzim....

Begitulah kita merasakan kita sudah lengkap ditarbiyyah, kita sudah cukup dan bagus ditarbiyyah namun Allah menguji dengan jalan tarbiyyah yang lain pula kerana tarbiyyah ini sifatnya meluas...

Kemudian umpamanya langkah aku makin semput dan perlahan apabila diberi medan baru untuk begerak di kampung halaman kerana aku dulunya 'hero' di medan tempat permusafiran namun menjadi loser apabila di medan baru...aku tercungap-cungap mencari tempat berpaut...sekali lagi aku tersedar inilah TARBIYYAH, aku masih dalam tarbiyyah

Langkah semakin berat apabila zon selesa aku digugat dengan amal-amal jamai'e yang semakin besar antara tarbiyyah yang difahami dengan tarbiyyah yang memerlukan aku banyak menghabiskan masa dengan masyarakat? Berprogram yang melibatkan aku menggantung poster, menaip surat, menguruskan hal-hal yang aku kira teknikal dari membina manusia-manusia. Aku merasakan jalan aku makin goyah, ibarat ada gegaran di jalanku yang bukan hanya sekadar panjang malah makin menggoyahkan apa yang aku BIASA LAKUKAN di TEMPAT aku BERMUSAFIR...

Aku lupa, pulangnya aku di sini bukan bermakna aku masih lagi menjadi orang TARBIYYAH yang LAMA dengan PEMIKIRAN yang masih LAMA, dengan KEYAKINAN yang LAMA...sebenarnya Allah mahu perlihatkan kepada kita bahawa dunia kita berubah setiap masa, maka kerja sebagai orang yang ditarbiyyah bukan lagi masih BIASA-BIASA seperti yang pernah aku LALUI di TEMPAT aku BERMUSAFIR kerana tentunya waqie berbeza, keperluan masyarakatnya berbeza

Astaghfirullah aku telah pukul rata dengan menganggap manusia itu perlu dibina dan diajak dengan CARA yang SERUPA sedangkan di kawasan kampung aku, kerja aku sebenarnya semakin banyak bukan SAMA sahaja atau mustahil semakin BERKURANG....

Di sini aku melihat golongan mudanya tidak ramai yang mahu turun bertemu masyarakat marhaen, masyarakat yang tidak terdedah dengan dunia luar,masyarakat yang masih perlukan manusia untuk membantu menyuluhkan jalan untuknya dan aku...aku telah ditakdirkan di sini! Allah pilih aku...Allah mentarbiyyah aku dalam perancangannya yang MAHA HEBAT dan MAHA BIJAKSANA..mengajar aku merasai ketaatan dalam bergerak secara berjemaah yang bukan hanya perlu diiltizam ikutannya di kawasan lama TETAPI perlu patuh apabila berada di kawasan BARU...
mentaati apa yang telah menjadi hasil syura dalam keadaan aku bukan menjadi ahli syura dalam kawasan baru dan medan baru...aku diPAKSA belajar, diDIDIK oleh ALLAH untuk KELUAR dari zon selesa untuk MASUK ke dalam MASYARAKAT, hentikanlah bersembunyi di sebalik medan selesaku...medan yang aku kira cukup sengit tetapi Allah perlihatkan lagi ada medan yang lebih sengit...

Mahukan kamu (wahai diri) turun berjuang sebagaimana kamu berjuang dahulu di tempat kamu bermusafir??? Di manakah sifat sabar dan redha, yakin, baik sangka, lapang dada, ukhuwwah, taat kepada qiayadah yang dilaungkan sewaktu menjadi muajjih dan naqib/naqibah kepada mad'u mu di tempat yang LAMA? Apa yang dinasihati ini diuji kembali oleh Allah apabila kamu diletakkan di dunia baru, medan baru, masyarakat baru, cabaran dakwah yang baru...

Jemaah ini milik bersama, bukan milik individu. Nasihat aku perlu diberi berdasarkan kawasan, senang memberi nasihat tetapi nasihat lebih terkesan apabila merasai sendiri menanggung beban dakwah...beban dakwah di tempat yang BARU...

Aku sedar kekuatan melaksanakan amal-amal dakwah dan kekurangan-kekurangan yang ada di tempat BARU bukan bergantung kepada pengalaman-pengalaman aku dalam medan terdahulu, bukan kerana bersama-sama dengan kelompok penggerak yang qawiyy satu ketika dahulu, bukan juga kerana kebiasaan aku dengan cabaran-cabaran lalu TETAPI kekuatannya adalah melalui HUBUNGAN dengan ALLAH kerana DIA pemilik ALAM ini. Dia MAHA BERKEHENDAK meletakkan kita di mana sahaja yang DIA suka, DIA MAHA Berkehendak meletakkan kita dalam mana-mana perancanganNya kerana DIA MAHA MERANCANG, MAHA BIJAKSANA...

Tarbiyyah 'baru' ini menjadikan aku matang, semakin menambahkan keimanan, membangkitkan aku dari zon 'selesa' dan selimut panas dan lembut yang kita biasa gunakan dalam 'kerehatan' dakwah dan amal-amal di medan dan tempat LAMA. Memberi kesedaran dakwah dan tarbiyyah Islam tetap berjalan dalam pelbagai bentuk sesuai dengan zaman dan masyarakatnya supaya survival Islam terus sampai. 

Terpulang kepada aku untuk menjadi sang perungut kegelapan atau menjadi orang yang menyalakan lilin bagi memberi cahaya kepada kegelapan yang ada. 

Terpulang kepada aku sama ada aku menjadi buah rosak dalam satu tandan pisang yang baik atau menjadi satu jigsaw puzzle yang akan melengkapkan keindahan gambaran Islam yang LUAS dan SYUMUL

Terpulang kepada aku untuk menjadi sang rahib siang dan malam atau sebahagian masa aku diperuntukkan untuk bergelumang dengan masyarakat yang masih bergelut mencari redha Allah dalam keadaan batil dan kebenaran yang berterusan bercampur baur

Terpulang pada aku untuk menjadi sang penyedih dan menyendiri dan mencipta kumpulan lain tersendiri atau menjadi SANG JUNDIYY yang QAWIYY turut bersama-sama KOMANDER BARU dan ketumbukan PERANG yang BARU bagi menguatkan sayap kiri dan kanan ketenteraan

Terpulanglah pada dirimu...
Semoga amal-amal kita semakin berkualiti bukan sekadar banyaknya kuantiti
Semoga kita masih dalam kafilah bukan berukar menjadi penggerak solo
kerana anasir jahiliyyah pun masih bergerak dalam kumpulan!

No comments: