Friday 29 October 2010

DUNIA 50% + AKHIRAT 50% = SEIMBANG (BETUL ? ATAU SALAH?)


Lihat situasi yang sentiasa dan pernah kita lihat sebagai seorang manusia biasa…

“Dunia pun kita hendak..akhirat pun kita hendak”

BEGITU JUGA DENGAN PERNYATAAN  INI…

“Dunia,dunia juga.Akhirat,akhirat juga.Jangan lupa kedua-duanya.”

PERNYATAAN  INI  JUGA…

Ambillah dunia,tetapi jangan sampai lupa akhirat

ATAU  INI

Dia tu sama naik.Dunia dia buru,akhirat pun dia kejar

ADA YANG LEBIH HEBAT APABILA…

“Eh..dia tu ok la..pelacur dan penari tetapi  dia sembahyang ”
“Tuhan kan menyuruh kita mencari kekayaan? Asalkan jangan tinggal puasa,solat haji,zakat sudah!Orang  solat kita solatlah,itu sudah semestinya,puasa pun macam tu juga…”

Bagi orang yang mencari kebenaran tentunya keliru dengan pernyataan-pernyataan ini.Jangan mudah terperangkap.masuk perangkap bahaya!

Ucapan-ucapan di atas masih bersifat umum.Huraiannya tidak ada.Mesti ada caranya.Mesti ada panduannya.Bukan main terjah,ikut perasaan dan ikut-ikutan macam sesumpah yang bertukar warna mengikut suasana.

Lihat situasi ni…

Kita carilah dunia sebanyak  mana pun,tak usah fikir halal haram.Tahulah kita macammana nak selesaikannya.Buatlah apa cara sekalipun asalkan dapat untung.tu yang paling penting.Tetapi jangan tinggal sembahyang,puasa,zakat,naik haji apabila dah mampu.Carilah dunia,jangan lupa akhirat.Carilah kemajuan,kekayaan tetapi jangan tinggal ibadat-ibadat  rukun yang lima ni…

Jadi,adakah pernyataan di atas menjawab persoalan ini?
DUNIA  50%  + AKHIRAT  50%  =  SEIMBANG  

Aktifkan sel neuron dengan tidak mengabaikan akidah Islam kita…

Kita sememangnya diwajibkan mengimbangkan antara kedua-duanya iaitu dunia dan akhirat mestilah seimbang kerana hubungan antara kedua-dua alam ini tidak akan dapat dipisahkan sama sekali.Mana mungkin dapat mencapai keredhaan Allah jika salah satunya pincang?
Beribadat 50  tahun untuk akhirat tetapi menyebabkan tanggung jawab kita kepada manusia di dunia terabai,adakah kita dianggap seimbang? Asyik bekerja sehingga diberi anugerah pekerja workerholic yang terbaik.Adakah dikira seimbang?Adakah dengan menderma untuk  pahala di akhirat melalui konsert rock dan tarian amal dikira sebagai amal yang seimbang?

Neraca keseimbangan dua dunia ini bukanlah dapat dilihat melalui keseimbangan dari sudut ilmiah atau saintifik atau formula matematik.Kesemua ini TIDAK RELEVAN sekali untuk digunakan.Mana mungkin alam syahadah(dunia) yang realiti  ingin disamakan dengan alam ghaib(akhirat)?tentu sekali terlalu jauh perbezaannya.Melangkaui pemikiran manusia itu yang sudah tentunya terhad,terbatas dan mudah dipengaruhi sama ada terpengaruh oleh nafsu atau persekitaran.

Agama bersifat maknawiyyah dan rohaniah  manakala dunia bersifat maddiah iaitu material,fizikal.Maknawiyyah dapat di’rasa’ melalui deria iman,akal,jiwa dan roh manakala dunia itu dapat dirasa melalui pancaindera mata dan sentuhan lahir yang lain(pendengaran,sentuhan melalui kulit,bau).Jika begitu kedudukannya kedua-duanya tidak dapat diukur menggunakan kaedah logik,teori dan ilmu mantik tanpa dipandu oleh al-Quran dan as-Sunnah.

Jadi,kita hanya perlu dirikan masjid banyak-banyak melebihi daripada  rumah-rumah lain,hanya perlu buat ceramah-ceramah agama atau fokus kepada hal-hal kerohanian je la kan?

Jangan persempitkan nilai dan peranan agama kita (ISLAM).Sesempit itukah Islam? jika begitu pemikiran penganutnya sendiri maka mustahil dan kenapa pernah wujudnya tamadun Islam di muka bumi pada satu ketika dahulu?

Perluaskan kefahaman di samping pertambahkan ilmu agama,jika belajar setinggi dan sejuta buku ditelaah sepanjang hidup TETAPI tiada kefahama kita  sebenarnya berada dalam kerugian.Sebagaimana dalam salah satu kata-kata ahli sufi :

Membaca satu halaman pendahuluan lebih baik daripada membaca 10 halaman yang berikutnya
Dan diperkuatkan dengan dalil mutlak:

Rasulullah pernah bersabda: ‘ Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan, Allah akan berikan dia faham dalam agama…’

Dan bait-bait kata Ibnul Qayyim al-Jauzi:

Benarnya kefahaman dan baiknya tujuan merupakan nikmat terbesar yang Allah berikan buat hambaNya. Tidak ada nikmat yang lebih utama selepas nikmat Islam melebihi kedua-dua nikmat tersebut. Kerana nikmat itulah sesoerang dapat faham Islam dan komited dengan Islam. Dengannya seorang hamba dapat terhindar dari jalan orang-orang yang dimurkai( jalan orang yang buruk tujuannya) dan jalan orang-orang yang sesat( orang yang buruk kefahamannya), serta akan menjadi orang-orang yang diberi nikmat , iaitu orang yang baik kefahaman dan tujuannya. Merekalah orang yang terbimbing di atas jalan yang lurus.( sirat al-mustaqeem).

Apabila benar kefahamannya,maka benarlah pegangannya dan apabila benar pegangannya maka benarlah amalnya.

Berbalik kepada Islam itu bagaimana?Islam itu merangkumi keseluruhan cara hidup kita.Lihat kepada contoh ini.Jika kita  diberi tanggungjawab untuk membina taman perumahan,bagaimanakah cara yang dapat kita lakukan supaya berlaku keseimbangan dunia dan akhirat?

1) NIATKAN  PEMBANGUNAN  INI  KERANA  ALLAH
Allah memerintahkan manusia melakukan kebaikan kepada makhluk yang lain termasuklah sesama  manusia itu sendiri,maka bangunan yang dibina perlulah untuk kebaikan manusia dan bukannya untuk memenuhi nafsu sendiri atau untuk kepentingan diri sendiri.

2) PELAKSANAAN YANG SELARI DENGAN  SYARIAT  ISLAM

Bahan binaan yang dibeli bukanlah melalui penindasan,riba’,monopoli,penipuan atau rasuah.Bahan binaan tersebut dibeli dengan menggunakan wang yang halal,wang yang bersih.Bahan binaan tersebut mestilah yang terbaik kerana Islam  menyuruh umatnya sentiasa bersifat ahsan(terbaik)  dalam semua perkara.Bahan binaan tersebut mestilah berkualiti.

2) PROSES  PEMBINAAN

Islam tidak melarang pembinaan jalan raya,sistem perparitan,rumah dan binaan yang lain.Tetapi janganlah kita melupakan aspek kerohanian seperti menyediakan kemudahan beribadat.Pekerjaan yang dilakukan tidak sampai melekakan kita melaksanakan ibadah fardhu kepada Allah,seperti terlalu asyik bekerja membina bangunan sehingga lupa untuk menunaikan solat lima waktu dan  membina pusat hiburan,perjudian  yang boleh menyebabkan ahli-ahli taman leka dalam mengingati Allah.

3) PENGGUNAAN DAN PEMBINAANNYA SELARI  DENGAN  TUNTUTAN SYARA’

Iaitu menepati etika,ciri-ciri dan prinsip-prinsip Islam contohnya tidak berlebih-lebihan dalam satu-satu pembinaan sehingga membawa kepada pembaziran.Harga lampu-lampu  yang begitu ber’seni’ di pinggir jalan melebihi harga pagar rumah sedangkan cukuplah lampu itu bersesuaian dibina untuk melaksanakan fungsinya untuk menerangi jalan.Selain itu,pembinaan tempat beribadat bukan sekadar untuk memenuhi syarat seperti  ruang mengambil wudu’  bagi wanita ada,tetapi  terdedah  dan tidak berlaku penipuan,mengambil kira faktor keselamatan dan keselesaan untuk melaksanakan amalan harian,mengambil kira aspek alam sekitar serta  tiada unsur-unsur penindasan  atau penipuan dalam jual beli rumah apabila pembinaan ini telah siap sepenuhnya.

Jika semua ini dilakukan ini bermakna kita berjaya seimbangkan antara dunia dan akhirat.TAHNIAH! Begitu indahnya Islam dan Islam sememangnya cara hidup yang memberi rahmat kepada seluruh alam.

Cuba aplikasikan cara ini dalam situasi majlis keraian atau di pusat membeli belah? Seimbangkannya.

Kita juga perlu ingat bahawa KEBENARAN tidak akan sesekali dapat bercampur dengan KEBATILAN.Mana mungkin warna putih apabila bercampur dengan warna hitam akan dapat mengekalkan warnanya yang asal iaitu warna putih?Apabila bercampur, tidak lagi menjadi putih, tidak lagi menjadi satu kebenaran tetapi menjadi rojak,caca marba dan tidak tentu hala.
Marilah sama-sama memahami agama kita dengan sebenar-benar kefahaman dan janganlah mengambil kesempatan atas keIslaman kita menyebabkan kita mengabaikan aspek kefahaman dalam Islam kerana kita telah me’warisi’ agama kita.Tidak bermakna Islamnya kita,maka Islam lah keseluruhan hidup kita,segala-galanya perlu dimulakan dengan pencarian ilmu kemudian disusuli dengan kefahaman,penghayatan dan akhirnya diamalkan.


Ya Allah,jadikanlah kami hamba yang sentiasa berada dalam kebenaran dan sentiasa diberi hidayah dalam setiap keadaan

No comments: